26 July 2011

Wasiat & Kepentingannya

Sekadar berkongsi
PENGERTIAN WASIAT
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.
DALIL WASIAT
Wasiat adalah dibenarkan di dalam Islam. Wasiat disyariatkan melalui dalil Al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w., amalan sahabat dan ijma’ ulama’.
·     Dalam Al-Quran, ALLAH berfirman:
Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati jika dia ada meninggalkan harta hendaklah dia membuat wasiat untuk ibubapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama) sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa. – Surah Al-Baqarah: 180
·     Dalam Sunnah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Hadis ini menyebut kalimah ‘tidak sepatutnya’ menunjukkan bahawa langkah persediaan perlu diambil oleh setiap seorang Muslim dengan menulis wasiatnya kerana dia tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba.Kemungkinan kelalaiannya akan mengakibatkan segala hajatnya tergendala dan tidak terlaksana.
·     Rasulullah s.a.w. turut bersabda:
Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.Hadis riwayat Ibnu Majah
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan Hadis riwayat Ibnu Majah
KEPERLUAN WASIAT & SEBAB UTAMA MENGAPA ANDA PERLU MEMILIKI DOKUMEN WASIAT

1. ARAHAN PEMBAHAGIAN HARTA YANG JELAS.
Sekiranya anda memiliki wasiat, bukan sahaja anda memiliki arahan pembahagian harta yang jelas samada kepada waris atau bukan waris, tetapi anda dapat menyampaikan amanat-amanat serta pesanan terakhir anda kepada orang yang ditinggalkan.

2. PESANAN DAN AMANAT TERAKHIR
Anda berpeluang menyampaikan amanat dan pesanan-pesanan terakhir anda kepada waris yang ditinggalkan. Ketika pesanan dan amanat itu dibacakan kepada waris-waris anda telah pun tiada di alam yang nyata. Bukankah setiap pesanan yang baik itu sudah tentunya akan memberikan kesan yang mendalam terhadap orang yang ditinggalkan. Anda perlukan doa-doa dari anak yang soleh untuk bekalan anda di akhirat sana. Bukankah terputus amal mereka yang telah mati kecuali antara 3 perkara yang anda ada iaitu anak-anak yang soleh. Mintalah mereka untuk menjadi mukmin soleh/solehah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibubapanya.

3. MELUNASKAN HUTANG DAN TANGGUNGAN
Pada zaman ini, boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita berhutang, ada yang banyak, ada yang sedikit. Berhutang atau meminjam untuk keperluan adalah dibenarkan dalam Islam, namun Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang, walaupun selepas kematian.
Antara peringatan yang disabdakan oleh Rasulullah saw:
Sesungguhnya orang yang berhutang terpenjara di kuburnya sehingga hutang tersebut diselesaikan (oleh saudara-maranya).- Hadis riwayat At-Tabrani
Malah tidak terkecuali bagi mereka yang mati syahid sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.- Hadis riwayat Muslim
Berdasarkan hadis-hadis di atas, bermakna seseorang Muslim itu amat memerlukan waris-waris & saudara-mara mereka yang masih hidup untuk menyelesaikan segala tanggungan hutang yang ada selepas kematiannya.

gambar google
4. MENYEMPURNAKAN HAK DAN HASRAT
i) Menyempurnakan HAK (waris yang ditinggalkan)
Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya. Bagaimanapun terdapat salah faham dalam masyarakat Melayu kita di mana ramai yang merasakan bahawa mereka tidak perlu membuat wasiat kerana telah adanya hukum faraid. Persoalannya, apakah jaminan bahawa mereka (waris-waris) tersebut akan mendapat hak mereka jika kita sendiri tidak membuat langkah-langkah awal bagi memastikan hukum tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna?
Sedarkah anda bahawa umat Islam kita masih jauh ketinggalan dan gagal dalam melaksanakan hukum faraid ini? Realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan begitu ramai yang tidak mendapat bahagian hak mereka termasuk mereka yang sepatutnya mendapat hak faraid. Kini timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?
 
Keadaan di atas berlaku akibat kelalaian dan kegagalan umat Islam sendiri dalam membuat langkah-langkah persediaan ketika hidupnya.Oleh itu, apakah langkah dan persediaan kita sendiri supaya keadaan ini tidak akan berlaku kepada harta-harta kita pula? Dengan persediaan yang baik dan melalui dokumen wasiat yang lengkap dan sempurna, sudah tentu akan dapat MENJAMIN hak-hak untuk mereka yang tersayang (ibu, ayah, isteri, suami, anak-anak) akan mendapat hak mereka (termasuk hak harta sepencarian pasangan) sekaligus hukum faraid dapat ditunaikan.  

ii) Menyempurnakan HASRAT (pahala berkekalan)
Di samping hak-hak yang memang telah termaktub dalam hukum, kita juga boleh menyempurnakan hasrat dan niat murni kita yang lain khususnya untuk TUJUAN KEBAJIKAN. Melalui wasiat, hasrat untuk membantu atau membela mereka yang tidak mendapat bahagian faraid dapat ditunaikan seperti waris terdinding, cucu yang kematian ayah, anak angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga asal muallaf yang masih tidak beragama Islam dan sebagainya (terhad 1/3 daripada pusaka bersih).
Begitu juga niat untuk menginfaqkan harta melalui amalan sedekah jariah dan berwaqaf untuk manfaat ummah dan ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana sabda Rasulullah saw:
Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: i) sedekah jariah, ii) ilmu yang dimanfaatkan dan iii) anak soleh yang sentiasa mendoakannya.- Hadis riwayat Muslim

sumber http://amanah2u.com..credit utk admin amanah2u :)
untuk pembacaan lebih lanjut Click Sini :)
Mati itu pasti marilah sama-sama membuat persediaan kearah itu, dengan harapan selepas kita mati kita tak susahkan insan-insan tersayang yang kita tinggalkan. 

No comments:

Post a Comment

6 orang doakan iyan shazlind jadi slim dan sehat :) terima kasih ya semua...:)